[ Berita Terkini ]
Tunas Sasar 5,000 Dapat Bantuan Tadika Tahun Depan
Posting pada:  2012/12/24 12:20:00 ( 3349 kali di baca )

Berita Terkini SEPANG 24 DIS : Syarat permohonan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) bakal dilonggarkan bagi meluaskan penyertaan ke dalam skim itu ke 5,000 penerima tahun hadapan.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata sebelum ini, bantuan itu terbuka kepada setiap keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah RM 1,500 sebulan.

Namun, Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan untuk menukar syarat tersebut kepada keluarga yang berpendapatan RM 2,500 ke bawah.



“Syarat itu kini sedang dibincangkan dalam mesyuarat Exco, saya harap ia dipertimbangkan,” katanya selepas merasmikan Program Mini Karnival Jelajah Jejak Tunas Daerah Sepang.

Hadir sama Penyelaras Dun Sungai Pelek, P.Sivakumar dan Pegawai Operasi Tunas Negeri, Abdul Mutalib Islan.

Katanya, sasaran 5,000 penerima dan penyertaan 500 buah tadika yang akan berdaftar dengan skim terbabit selaras dengan peruntukkan baru bagi tahun hadapan iaitu sebanyak RM 3 juta.



“Jika tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM 1.016 juta, tetapi pada tahun depan Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM 3 juta di bawah bajet 2013.

“Oleh itu, saya berharap kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, Penyelaras Dun, Ketua Kampung dan semua pihak supaya dapat membantu menjayakan skim ini,” katanya.

Skim Tunas di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) adalah bantuan yuran sebanyak RM 50 setiap bulan kepada kanak-kanak tadika yang layak.

Ia dilaksanakan mulai dari 1 Julai tahun ini di mana yuran bagi kanak-kanak yang terpilih dibayar terus kepada tadika yang berdaftar dengan Majlis Permuafakatan Tadika Selangor (MPTS).

Setakat ini, sebanyak 1,903 penerima sudah mendapat faedah dengan penyertaan 232 tadika berdaftar di bawah MPTS termasuk Pasti, Kemas, Pra Sekolah JAIS, Pra Sekolah Kementerian, Tadika Perpaduan dan Swasta.

Sementara itu, Abdul Mutalib berkata daerah Sabak Bernam mencatatkan penyertaan paling ramai skim Tunas diikuti dengan daerah Klang.

“Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar dan menghebahkan kepada orang ramai, kita akan turun ke 56 Dun bagi mengadakan satu ‘Roadshow’ untuk memberi taklimat berkenaan bantuan ini selain mengadakan Hari Keluarga Tunas,” katanya.

Bagi peniaga Mohd Azhar Mahmud, 38, bantuan itu dapat meringankan bebannya.

“Saya gembira dengan bantuan ini, walaupun sedikit tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu peniaga seperti saya ini,” katanya.



Penerima lain, Nor Aznita Othman, 28, dari Bandar Baru Salak Tinggi berharap bantuan itu akan diteruskan bagi membantu keluarga yang berpendapatan rendah.

“Ia akan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri, contohnya saya yang mempunyai tiga orang anak, tidak bekerja hanya mengharapkan suami saya yang hanya bekerja di kilang sahaja,” katanya.

Oleh: Norhayati Umor – December 24, 2012
Share |


Bantuan SEGERA

Statistik Tunas

img_3057250da73a47e9f1.jpg

Pra-Daftar Pemilik Tadika

pradaftar.png

Semak Permohonan

pendaftaran.png
kemaskini.png
semakan.png

Pautan

img_26255002db88cd0ca.png
img_212385002dd044090c.png
img_188055002de57ae33f.png